Anak muda yang berada di universiti, kolej atau sekolah ketahuilah bahawa apabila kamu dewasa nanti hal yang menjadi keutamaan mestilah bagaimana mahu mendapatkan pekerjaan yang baik dan bagaimana untuk mendapat tahap kehidupan yang baik.
Banyak anak muda yang terbabas dalam kehidupannya. Apabila sudah masuk ke alam pekerjaan banyak yang menanggung hutang keliling pinggang, yang kahwin muda rumah tangga berantakan, kehidupan jadi serabut dan hal kewangan menjadi rumit.
Dunia pekerjaan mula kita merasa majikan menindas, gaji kecil, isteri mula rasa dingin kerana serabut memikirkan hal kewangan yang tak menentu.
Lebih teruk apabila berlaku pandemik Covid-19, majikan pun mahu buang pekerja sampai kita pun berfikir apa lagi kerja yang boleh kita lakukan.
Rasa putus asa kerana tiada ilmu pengetahuan bagaimana mahu teruskan kehidupan dengan bekerja daripada rumah. Benar, satu dunia kena lockdown akibat virus yang melanda, tetapi kehidupan perlu diteruskan dan wang perlu dicari.
Sebelum keadaan menjadi parah dan barah alangkah elok anak muda yang berada di luar sana mula berfikir bagaimana mahu tambah pendapatan, belajar ilmu marketing supaya apa sahaja produk yang berada di tangan boleh ditukar menjadi wang.
Inilah ilmu yang perlu dicari sebelum berkahwin. Bukan ilmu mengorat jejaka, bukan ilmu mengorat anak dara. Ilmu kewangan yang perlu dicari, ilmu marketing yang perlu digali, ilmu menjual yang perlu dikuasai.
Wahai anak muda yang dikasihi, yang masih mencari identiti diri, seronok bergaul bebas ke sana ke sini, minum kopi mahal di starbuck pun banyak kali, tak endah pesanan ibu bapa sendiri dan sering memberontak yang diri kamu sudah berdikari. Ketahuilah apabila kamu dewasa nanti pesanan beginilah yang kamu cari. Dunia fantasi memang indah tetapi sekarang kita berada di dunia realiti.
Kepada anak muda yang masih ada peluang perbetulkan keadaan, cuba kamu renung apa pesanan yang mahu disampaikan ini. Masa belum terlambat untuk kamu ubah nasib diri. Siapa lagi yang akan ubah nasib diri kita jika bukan diri kita sendiri.
Pasangan muda yang sedang mabuk bercinta sana sini. Jika pasangan kamu sudah ada ASB, akaun tabung haji, takaful perlindungan diri, pekerjaan yang kukuh bestari, bisnes online yang aktif sepanjang hari maka kamu rentap sahaja lehernya dan ajak dia kahwin hari ini.
Tetapi jika pasangan kamu apabila diajak jumpa ibu bapa kamu pun masih malu, tiada keyakinan diri, wang simpanan pun suka dihabiskan ke sana ke sini, masih lagi seperti budak-budak yang hisap vape dan rokok berkotak sehari, pakai kereta mahal tapi duit gaji pun suka dihabiskan, kewangan pun masih bak bapak yang bagi maka kamu anak muda, kamu wanita hebat yang bijak bestari tinggalkan sahaja jejaka haprak itu.
Ingat, mulai sekarang kena pandai cari duit sendiri. Kita wanita hebat berdikari. Kita simpan sebanyak mungkin wang untuk perlindungan diri. Apabila mahu mencari pasangan nanti kita cari yang pandai menyimpan seperti kita. Biar suami isteri hidup sederhana, pakai kereta kecil ke sana ke sini, tetapi ada rumah sendiri, ada simpanan sendiri, ada tabung pendidikan tinggi untuk anak, ada simpanan kecemasan sendiri dan paling penting hidup suami isteri bahagia sehingga hujung nyawa. Jangan jadi seperti kucing ini.
![]() |
| Kita wanita hebat mampu berdikari sendiri, cari wang sendiri |


